perasaan ini bagaikan air di kali yang sentiasa mengalir tanpa henti..
Telah aku kuburkan dalam-dalam persahabatan bersama kau. Telah aku cuba simpan peristiwa aib itu dalam hati sampai mati. Bertahun aku menghilang, dan tidak pernah aku sangka waktu telah menemukan kita lagi. Malang apa yang menanti, pabila aku dan kau terperangkap dalam ikatan yang tidak pernah kita impikan?
Benarkah hati perempuan itu, kerasnya bagaikan kerak nasi?
Percik air lembutlah ia...!
Benarkah hati perempuan itu dalamnya tak terduga?
Sentuh dasarnya, lunaklah ia...!
Benarkah begitu...?
Ya, perempuan lain mungkin, tetapi tidak aku untuk lelaki seperti kau!
Kau tidak pernah mengenali lagi aku Fir, kau tidak pernah lagi memahami aku Fir,
kau tidak pernah sekalipun menyelami hati seorang aku!
Bahtera ini, arah kita tak serupa
padamu... aku dendam yang tak terungkai,
padaku... kau sahabat yang melukakan
Mengapa tidak kita akhiri sahaja tali ini,
kalau kita tidak pernah endahkan ijab kabulnya, Fir?
***
Bacalah hati perempuan NAZAWATI dalam Teluki Itu untuk Aku. Bandingkan dia dengan hati anda sendiri!
Dalam juraian hujan...mengapa ucapan perpisahan yang kau lafazkan...
Aku sesekali tidak pernah buang dirimu dari hatiku. Sesekali tidak. Dan tidak mungkin! Kerana masih ada janji-janji kita yang belum tertunai. Harapan dan impian indah di Sungai Thames... aku ingin ulanginya dalam bulan madu kita. Namun entah di mana silapnya... hujan panas menenggelamkan harapan dan impian yang hampir tertunai. Dan lumrah orang bercinta... kau dan aku tidak sunyi daripada sengketa dan salah sangka. Lalu perpisahan pun menjadi noktah kasih sayang. Namun tidak menoktahkan rasa rindu yang saban hari hadir memayungi hati, membasahkan ingatanku daripada terus melupakanmu, meletakkan aku dalam kancah resah yang tidak sudah. Amirul Taufiq... aku akur bila ada gadis lain jatuh cinta padamu. Dan salah seorang daripadanya bukanlah asing padaku. Insan yang aku sanjungi... yang menyebabkan aku mampu bernafas dan tersenyum sehingga ke hari ini. Pengorbanannya juga bukan sedikit untukku lukakan hatinya. Aku masih belum tergamak untuk memusnahkan impian indahnya... juga impian indah mereka... impian indah untuk hidup bersamamu. Nyatanya aku juga tidak mampu untuk lupakan dirimu dari hatiku. Namun apalah sangat dengan pengorbananku yang sekecil ini. Lalu aku izinkan hati ini dilukai. Kerana kebahagiaan yang sebenar ialah bila kita mampu berkorban untuk orang yang disayangi. Pedulikan hati sendiri... kerana orang lain tidak perlu tahu apa yang kita rasa. Dan kalau memang jodoh itu milik kita... aku tidak akan teragak-agak untuk menerimamu kembali. Menerima dan melupakan sengketa lama yang menyebabkan kau dan aku menderita...
Aku letak sedikit watak-watak pengenalan untuk kisah terbaru aku. Kalaupun ia tidak menenuhi cita rasa, setidak-tidaknya biarlah ia dikongsi sedikit dengan anda semua.. :-)
*****
Luqman Hakim : Aku dan dia saling melengkapi, biarpun datang seribu onak dan duri.
Memiliki seorang isteri sebagai teman hidup semati sesuatu yang indah dalam hidup ini. Sebelum memiliki ikatan ijab dan kabul, aku dan Humairah tidak pernah kenal. Perkahwinan kami urusan orang tua. Impian ibuku sebetulnya. Itu yang boleh kukatakan. Humairah... seindah nama pemiliknya itulah isteriku yang kuakad dalam ijab kabul dalam ikatan pernikahan enam tahun yang lalu. Mengenang kembali ingatan itu, terlafaznya akad itu dihadapan arwah ayahnya sebenarnya ia satu perasaan kosong yang kualami ketika itu. Aku dan Humairah tidak pernah bercinta. Tidak pernah bersua sebelum kami dinikahi seminggu sebelumnya. Lalu bagaimana bila ungkapan dari bibir melafazkan akad nikah untuk memiliki seorang isteri yang tidak pernah kukenal, yang tidak pernah kusua tanpa perasaan yang nyata?
Seorang perempuan yang cintai menjadi miliknya, ia sesuatu yang indah. Itu perasaan yang harus di miliki bagi mereka yang melayari cinta setelah dapat memaknakan perhubungan mereka dalam satu ikatan yang sah. Tapi aku dan Humairah? Edan! Antara kami tidak pernah menyimpan rasa sebelumnya. Tika itu aku telah lepaskan kekasih hati yang satu, jiwa sarat memendam perasaan. Berdosanya aku ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu. Bila kurenung wajah lembut Humairah dan birai matanya yang berkaca ketika membaca lafaz takliq ke atas dirinya, wajah seseorang yang telah kulepaskan segalanya-galanya untuk hidup disamping Humairah seakan terbayang-bayang di ruang mata.
Humairah... Hatiku berbisik lagi memanggil namanya. Engkau bukan yang kucintai, tetapi sesungguhnya... kaulah yang paling kukasihi. Hati ini berbisik lagi. Dalam masa yang sama aku cuba memadam lagi ingatan pada seseorang yang telah hilang dari pandangan, tapi sesungguhnya dia tidak pernah lenyap dari sebuah ingatan.
Lelaki seperti apakah aku? Lafaz ijab dan kabul untuk perempuan lain, tetapi nyatanya hatiku untuk si dia yang telah kulepaskan dengan penuh kerelaan. Kerelaan yang pedih. Sepedih hatinya. Seluka jiwanya ketika salam perpisahan terucap dari bibir. Air jernih yang tumpah dari birai matanya masih lagi kuingat sehingga kini. Dia rela berpisah untuk kebahagiaan aku katanya. Dia tega menyambut ucapan perpisahan itu untuk menjadikan aku seorang anak yang menurut kata. Katanya dia bukan pilihan ibuku. Biarlah dia yang mengalah.
Enekdot terakhirnya dihulurkannya kepada aku. Aku
menatapnya. Terkesima.
Maksud
Firman Allah s.w.t dalam surah Luqman ayat 14:
“Dan Kami perintahkan kepada manusia
(berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam
keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun.
Bersyukurlah kepadaku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah
kembalimu.”
Maknanya :
Allah
mewajibkan kepada semua manusia agar patuh dan taat kepada orang tua. Kerana
seorang ibu itu mengandung dengan segala kepayahan dan kesulitan. Seorang ibu
yang menyusui anaknya sampai berusia dua tahun. Allah mengharuskan pula agar
bersyukur kepada-Nya atas semua nikmat yang diberikan dengan cara melakukan
semua bentuk taat. Dan hendaknya berterima kasih pula kepada orang tua dengan
cara melakukan kebaikan dan taat. Kerana semua akan kembali kepada Allah, dan
Allah akan membalas semua perbuatan yang dilakukan manusia.
Aku menatapnya. Dari surah Luqman... Aku jadi terkedu.
Disebabkan surah Luqman itu, ia berjaya menyentuh hati ini yang teramat. Saat
itu aku terkenangkan ibuku yang uzur. Teringat-ingat cerita ibu sedari kecil
lagi dia ketika mengandungkan aku, bacaan surah Luqman tidak pernah putus
dibacakan oleh ayah dan ibu ketika aku dalam kandungan. Bacaan yang tawaduk
itulah agaknya menjadikan aku sebegini. Aku tidak pernah mengingkari kata-kata
kedua ibu bapaku.
“Sayangilah kedua orang tua kita sementara mereka
masih ada Luqman. Taatilah mereka. Mizah rela lepaskan ikatan kita ni kalau itu
yang dapat bahagiakan hati seorang ibu.” Aku dengar dia melafazkan ungkapan itu
dengan penuh kerelaannya. Kedengaran tenang di bibirnya. Tapi hatinya? Aku
nampak air matanya yang mengalir diseka sekali.
Untuk menjadikan aku seorang anak yang taat! Lalu
kami berpisah. Aku tidak mampu mengenanginya lagi. Nur Hamizah pergi
meninggalkan aku. Di situ aku terkaku sendiri.
*****
Humairah :Dia yang kucintai, berikanlah sepenuh keberkatan dariMu Ilahi untuk kami...
Aku tidak pernah mengimpikan sebuah perkahwinan yang diatur oleh orang tua tanpa mengenali sedikit pun siapakah dia yang bakal dijodohkan denganku. Aku mengenali suamiku Luqman Hakim hanya seminggu sebelum kami akan ijab kabulkan. Perasaan aku ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu. Bagaimana aku boleh menerima Luqman ketika itu? Aku hanya berserah padaNya ketika arwah ibuku ingin menjodohkan aku dengan dengan anak seorang kenalan ibu dari kumpulan usrahnya.
Betul kata Aisyah adikku, yang aku ini seorang anak yang menurut kata. Tapi benarkah begitu? Ketika ibu bertanya kepada aku tentang seorang kenalan baiknya dalam kumpulan usrahnya ingin menjodohkan aku dengan anak lelaki tunggalnya, ketika itu aku diam tidak berkutik. Begitulah aku, sedari kecil aku telah di didik untuk taat kepada ibu bapa. Pun begitu pertanyaan ibu pada malam itu aku tidak menjawabnya dalam ungkapan yang panjang. Perasaan aku kosong ketika itu. Adakah lagi pada waktu sekarang urusan perkahwinan diaturkan oleh orang tua? Dan kenapa ibu tiba-tiba ingin menjodohkan aku? Siapa lelaki itu? Perasaanku bercampur baur. Sebelum ibu berlalu keluar dari bilikku, katanya impian dan harapannya terlalu ingin melihat aku dijodohkan dengan anak teman baiknya itu. Aku terkedu dengan harapan ibu.
Bolehkah aku berkata tidak pada ibu? Tiada paksaan dalam Islam. Itu kata ibu. Ayah kata terpulanglah pada aku. Berbolak balik fikiran aku ketika itu. Perasaan yang aku rasakan resah sekali. Ingin menyerahkan seluruh hidup pada seorang lelaki yang tidak pernah aku kenal, seminggu lamanya setiap malam aku menunaikan soat istikarah memohon dari Allah agar DIA dapat memberikan aku petunjuk.
Aku ingin berikan seluruh kebahagiaan kepada orang tuaku. Kalau mereka merasakan pernikahan yang diaturkan itu baik untukku dan membahagiakan, tunaikanlah harapan itu. Meresap sesuatu dalam hati. Tiba-tiba dadaku terasa sedikit lapang. Jadilah anak yang membahagiakan orang tuanya. Suara hatiku berbisik sendiri.
Maha suci Allah. Dari kekalutan yang membelenggu aku dari saat ibu meluahkan ingin menjodohkan aku dengan lelaki yang tidak pernah aku kenal, tiba-tiba hati menjadi sedikit tenang. Agaknya itulah petunjuk yang telah Allah berikan kepadaku. Bila aku berkata setuju pada ibu, melimpah ruah rasa syukur yang terucap dari bibir orang tuaku.
Seminggu sebelum aku bakal diijab kabulkan aku berkesempatan bertemu dengan Luqman Hakim. Dia datang ke rumahku dengan orang tuanya. Terkesan. Dari sinar mata aku dapat merasakan pandangannya kosong. Pertemuan pertama kami di hadapan orang tua sepatah perkataan pun tidak terucap dari bibir kami ketika itu. Aku hanya mengenalinya setakat itu. Dia pun mungkin juga begitu. Tapi entah kenapa selepas pertemuan itu perasaanku jadi tidak keruan. Betulkah tindakan aku ingin menyerahkan seluruh hidupku pada lelaki itu? Apapun yang aku rasakan sudah terlewat untuk aku menarik balik segala keputusan.
Seminggu selepas itu kami diijab kabulkkan. Detik itu aku tidak pernah lupakan. Saat akad nikah itu terlafaz dari bibirnya perasaanku terasa melayang-layang. Hanya Allah yang mengerti perasaan aku ketika itu. Terasa ada sesuatu yang memberat. Aku dengar lafaz takliq yang dibacakannya di hadapan aku. Getar suaranya dapat kutangkap seperti mana dapat kudengar getar bibirnya ketika terlafaznya ijab dan kabul dari bibirnya ke atas diriku tadi. Saat jari jemari kami bertaut bagi upacara membatalkan air sembahyang, terasa dingin membeku tapak tangannya. Silau matanya lebih meresahkan.
"Minta maaf, saya belum boleh menyetuh awak lagi..." Malam pertama kami itu yang berlaku. Aku terkaku dan keliru. Apa maksudnya? Aku seperti dengar suaranya seperti sarat menanggung sesuatu. Dan aku? Hati dan perasaanku jadi bercelaru. Aku termanggu di birai katil. Perkahwinan apakah ini? Inikah yang diimpikan bagi setiap orang untuk melayari perkahwinan sebegini? Tidak... Hati berbisik sendiri. Merenung Luqman di situ renungan mata kami bertaut seketika. Tapi segera pandangannya dialihkan. Pandangan tidak sudi merenung aku, isterinya ini. Tiba-tiba hati ini jadi hiba.
Begitu. Patutlah Luqman begitu dingin denganku. Rupa-rupanya aku dan perkahwinan ini tidak diinginkan olehnya! Aku mengetap bibirku lama. Rasa sendu menjalari di hati. Aku isteri yang tidak di ingininya...
*****
Nur Hamizah : Hidup ini terus berlalu... biarpun rasa sepi itu tetap bersamaku...
Aku pernah mempunyai rasa dikasihi dan dicintai. Dan... dan juga menyintai. Mungkin rasa pedih berkurangan tapi aku tidak dapat menipu diri sendiri, kesedihan itu tidak pernah hilang sebenarnya. Pedihnya hati tika terpaksa meluruhkan segenap perasaan buat seseorang yang selama itu cukup istimewa dalam sebuah perasaan, hanya DIA sahaja yang lebih mengetahui.
Luqman Hakim cukup istimewa pada aku pada waktu itu. Bukan senang untuk menerima huluran kasih dari orang lain, tapi dengan Luqman aku tewas dengan tuntutan perasaan. Dia adalah kekuatan. Menerima aku seadanya. Bukan memandang aku pada luaran dan gelaran yang ada padaku. Entah kenapa saat ini aku bagaikan terbawa pada kisah lalu. Pada sebuah perasaan yang sangat membahagiakan, tapi tiba-tiba ia hilang begitu sahaja.
Aku bukan pilihan ibunya. Hanya kerana susur galur yang aku ada, ibunya tidak dapat menerima aku. Begitu prejudisnya keadaan itu. Aku tidak pernah hendak menyalahkan ibunya. Luqman memang mempunyai ibu yang baik, seperti mana dia begitu baik melayan aku ketika pertama kali Luqman membawa aku bertemu dengan ibunya. Kelembutan ibunya terpamer di situ. Mengucup dahiku dengan kasih sayangnya. Melayani aku seperti anaknya sendiri. Bahagianya aku tika itu hanya Allah sahaja yang tahu. Aku tidak pernah merasakan kasih sayang seorang ibu. Merenung sahaja wajah lembut ibu itu meresap segala rasa kasih dalam hati. Ya Allah... sesungguhnya aku tidak pernah merasakan kasih sayang sebegitu.
Pun begitu luluhnya hati ini bila seorang ibu itu tiba-tiba menolak aku...
Aku memejam mata dengan kejap. Aku termanggu di ruang jendela. Aku tidak mampu mengenangi ia berterusan. Mengingati kenyataan itu umpama belati yang menghiris hati. Detik 23 Ramadhan itu tidak pernah luput dalam ingatan aku sebenarnya. Ia terjadi pada tarikh itu. Aku menekup dadaku sekali. Tiba-tiba hati terasa pedih.
"Makcik harap Mizah dapat lupakan Luqman..." Ya Allah, aku tidak mampu melupakannya! Ingatan pedih itu datang lagi. Sepedih hati ini bila ungkapan tersebut diucapkan oleh seorang ibu yang telah melahirkan insan kesayangan aku. Aku terpaku.
"Maafkan makcik, makcik tak dapat terima Mizah..." Tertahan-tahan suara itu meluahkan lagi kepada aku yang berterusan terpaku.
"Mizah...Mizah lupakan Luqman ya?" Pinta Makcik Raudhah lagi.
"Apa salah Mizah makcik?" Aku baru dapat bersuara. Tiba-tiba hati terasa sebak. Bagaikan ada sesuatu yang tersekat dikerongkongku.
"Mizah tak salah. Makcik yang salah. Makcik yang salah sebab nak kan yang terbaik untuk Luqman..." luah Makcik Raudhah perlahan.
"Apa maksud makcik?" Dalam rasa pedih hampir tidak kedengaran suara aku bertanya. Makcik Raudhah diam. Aku nampak air matanya bergenang.
"Mizah bukan yang terbaik untuk Luqman..." Aku mengulangi semula satu frasa yang telah diucapkan oleh orang tua itu. Pedihnya hati.... Tiba-tiba aku jadi teringat dengan susur galurku. Dan tiba-tiba itu juga aku dapat menelahnya.
"Makcik tak dapat terima Mizah sebab.... sebab asal usul Mizah kan?" tertahan-tahan aku bertanya. Air mataku tiba-tiba luruh. Hati jadi sedih yang teramat. Tika ini aku teringat akan asal usulku. Seorang perempuan yang sejak dari bayi dibesarkan dari rumah anak yatim....yang aku sendiri tidak tahu ibu bapaku siapa. Lebih jelas boleh kukatakan, aku lahir ke dunia ini tanpa seorang bapa....
Ya Allah.... Aku memejam mataku dengan kejap. Urusan pernikahan aku dan Luqman perlukan seorang wali. Satu pencarian yang sulit. Akhirnya statusku diketahui sendiri oleh ibu Luqman. Dan kini aku boleh memahaminya. Seorang ibu pasti hendakkan yang terbaik untuk anaknya.
"Maafkan makcik Mizah. Makcik bukan salahkan Mizah. Tapi... tapi makcik perlukan zuriat yang baik dari Luqman...." Itu yang diucapkan. Hancur luluhnya hati ini!
Aku merenung lama wajah ibu itu. Sesungguhnya pedih hati cukup terasa.
"Mizah tak pernah rasakan kasih sayang dari seorang ibu. Makcik dah beri seketika itu untuk Mizah. Ya Allah...bahagianya Mizah, hanya Allah saja yang tahu. Mizah tak akan hampakan dan lukakan hati makcik. Mizah tahu Luqman segala-galanya pada makcik. Luqman kebahagiaan makcik. Mizah tak akan ambil kebahagiaan tu. Memang Mizah bukan yang terbaik untuk Luqman..." Bergetar dua ulas bibirku mengucapkan kata-kata itu kepada Makcik Raudhah. Dia diam tertunduk. Aku tidak tahu apa yang difikirkannya. Mengenangi susur galurku membuatkan hatiku bertambah rawan.
Adakah aku yang lahir ke dunia ketika itu inginkan dilahirkan sebegitu? Lahir tanpa seorang ayah. Ditinggalkan ibu di sebuah surau. Lalu dijumpai oleh orang lain dan hidupku selepas itu dibesarkan di tempat anak-anak yatim. Aku lahir ke dunia ini dalam keadaan yang menyedihkan. Kelahiran yang tidak diingini dari sebuah dosa. Tapi kotorkah aku? Bukankah seorang bayi yang lahir ke dunia ini bersihnya bagaikan kain putih yang tidak dicemari oleh sehama debu pun. Dan lahirnya seorang bayi ke dunia ini Allah telah berfirman di dalam Al-Quran :
Sesungguhnya kami jadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian.
Tapi luluh! Aku tidak mampu untuk bertazkirah apa pun pada ibu Luqman itu. Hampanya hati ini untuk seorang ibu. Tapi kalau itu yang diingininya, aku akan beri.Aku mengesat air mata aku sekali. Wajah makcik Raudhah aku renung tepat.
"Mizah akan turuti permintaan makcik kalau tu yang dapat buat makcik bahagia...." Aku cuba mengawal rasa hiba ini.
"Mizah...." Ada sendu dalam panggilan itu.
"Tak apa makcik. Makcik tak perlu kata apa-apa lagi. Mizah akan tinggalkan Luqman." Betapa hatiku menangis ketika mengucapkan kata-kata itu. Dalam deraian air mata aku mengucup tangan ibu insan kesayangan aku ini. Segugus itu aku berlalu pergi selepas makcik Raudhah sempat mengucapkan kata-kata maaf. Sebuah pengucapan maaf yang tulus. Tapi penerimaan aku? Demi Allah... rasa sedih dan luka itu telah kuletakkan sedikit jauh kerana bagi aku ibu itu tiada sedikit pun dosanya kepadaku walaupun aku sangat-sangat berkecil hati.
Apa yang aku tahu sebulan selepas itu ibunya telah mencarikan jodoh lain untuk Luqman. Jodoh dari keturunan yang sangat baik seperti yang diingininya. Humairah. Itu namanya. Nota terakhir yang aku beri pada Luqman memang aku sangat memaksudkannya. Kalau Luqman tidak rela berpish aku lebih lagi. Dan dalam sekelip mata cintaku hilang. Asal usulku menjadi pertaruhan kebahagiaan.
Minta maaf banyak-banyak pada pengunjung blog ni bila melayari singgah ke sini, tiada entry terbaru dari aku. Sebetulnya aku lebih suka bercerita di ruang-ruang lain dari menulis sesuatu di sini. Mungkin juga aku ni bukan kaki blog yg tegar seperi nazurah aishah yg suka bercerita di ruang blognya.haha...nama nazurah juga yang naik.jangan marah ye naz :P
Kekangan masa juga salah satu sebab aku tidak dapat nak kerap-kerap melarikkan jari jemari aku di sini untuk bercerita.haha..mengalahkan kaksu pulak.sesekali ada masa aku suka masuk blog ayermata kaksu. Sesibuk kaksu tu pun ada masa jugak kaksu nak mengupdate blog dia dengan cerita Piyah & Piyan tu. Kaksu tu manalah datang idea dia nak mengarang ya? isk..isk..memang tabik toing...tiong..dengan kaksu tu.. :D
Oklah tak payah ambil masa mengarut-mengarut kat sini. Sebelum aku menamatkan cerita aku kat sini, aku nak beritahu sedikit tentang perkembangan terbaru aku. Aku sebenarnya ada 2 manuskrip tengah dalam pembikinan. hehe..macam nak buat filem plak. Lama juga terbengkalai cerita-cerita aku ni. Sebenarnya nak menulis ni bukan senang juga. Bila datang idea dan mood tu, memang macam air yang deras, mood menulis tu tak berhenti-berhenti nak terus menulis. Bila datang perasaan tu takde, janganlah dipaksa-paksa untuk menulis kan? Benda nak menulis ni sebenarnya datang dari hati. Biarpun kita punya 100 jam sehari pun kalau perasaan tu takde nak menulis memang tak jadi. Aku lebih suka memaknakan setiap apa yang aku tintakan itu lahirnya dari hati. Bagaikan perasaan yang menderu dan tanpa henti bila sesuatu yang lahirnya dari hati kita tumpahkan pada skrin putih untuk memaknakan setiap perkataan. Dan itulah yang cuba aku raih dan cari dari masa ke semasa sehinggalah perasaan itu datang balik untuk mengetuk papan kekunci aku menyambung semula manuskrip aku yang terhenti.
Oh...panjang pula aku bercerita. Untuk entry yang seterusnya, Insya Allah aku akan ambil masa sedikit untuk 'meletakkan' sedikit kisah daripada manuskrip aku atau yang lebih tepat watak 'pengenalan' untuk cerita yang sedang aku tulis buat masa ini. Oh ya, untuk pengetahuan pembaca aku sebenarnya bukan penulis yang meletakkan karyanya di blog. Minta maaf sangat! Tapi untuk kali ini aku akan letakkan sedikit watak pengenalan dari kisah yang sedang aku usahakan ini. Insya Allah, untuk cerita ini aku akan cuba selesaikan manuskrip ini dengan penuh tekun.hahaha...macam nak buat kerja sekolah pulak!
Oklah untuk semua pembaca yang di sayangi, kita jumpa lagi di next entry...
Assalamualaikum pada semua.uwaa..lamanya aku tak update blog ni.huhu..sesiapa ada tips nak bagi kat aku supaya lepas ni jari jemari aku rajin je nak berblog.huhh...apa nak buat...aku bukan kaki blog..
Oh...sebenarnya entri ni aku nak letak kad jemputan dari Jemari Seni berkenaan Majlis Bicara Buku III pada 18 Julai 2009 ni. Ni aku letakkan kat sini kad jemputan tu. Kalau sesiapa berminat nak berbicara dengan Khairyn Othman, Iman Xara, atau mungkin ada penulis JS yang lain pun akan hadir, kalau berminat nak hadir anda boleh hubungi JS untuk maklumkan kehadiran.
Nota : Pada JS, terima kasih kerana sudi mengundang saya untuk membicarakan novel Teluki Itu untuk Aku.
Aku buka entri ni sebab berminat nak menjawab persoalan adhan di blognya http://dunia-novel.blogspot.com/ yg telah membuat review novel Teluki Itu Untuk Aku. Untuk Adhan terima kasih untuk review yang bagus itu. Saya sangat hargainya. Review tu memang mampu buatkan saya tersenyum sendiri. Tentang persoalan adhan tu, saya jawabnya kat sini.
Oh ya..bagi sesiapa yang belum membaca novel Teluki, aku tak ingin buat spoiler kat entri ini, jadinya pada sesiapa yang dah baca yang ingin mengetahui persoalan yang ditanya adhan di blognya ini..harap korang boleh highlightkan apa yang aku tulis ni bawah ni... Tentang persoalan Ajmal yang di tanya oleh adhan.oh ya...biarlah aku qoute sikit apa yg di tanya oleh adhan tu "keseluruhan jalan cerita ok cuma aku tak puas hati sikit je...apa sebab Ajmal jadi macam tu? 2-3 kali aku baca TIUA tapi aku tak jumpa juga punca Ajmal jadi gitu...adakah sebab dia ada perasaan pada Seri makan dia jadi gitu?hah, soalan ni cik penulis kena jawab ek.."
huhuh adhan..terjentik-jentik hati saya ingin menjawabnya. untuk pengetahuan adhan dan pada sesiapa yang dah baca TIUA, dihujung pengahkiran cerita tu, sebanarnya ada lebih lagi penjelesan yang lengkap, terutamanya berkenaan keadaan Ajmal dan kenapa dia jadi sampai macam tu sekali. Dalam manuskrip asal beberapa perkara telah mengalami proses suntingan dan...penjelasan lengkap berkenaan Ajmal pun telah mengalami proses tu.
Oklah..macam ni lah..bagi memuaskan hati adhan dan lain2 tu..biarlah saya masukkan sedikit manuskrip original dari cerita TIUA, penjelasan dari Pakcik Mustapha, ayah Ajmal menceritakan lebih lengkap lagi keadaan Ajmal yang sebenarnya. Untuk adhan, bacalah manuskrip versi asal ni yang tak ada di dalam novel...
"Semuanya memang salah Pakcik Mus! Dan...Ajmal pula...tak sangka sanggup mengulangi kisah sedih tu kepada Seri. Kalaulah Seri tahu...Ajmal yang paling tertekan bila dapat tahu kisah tu. Pakcik Mus tak tahu apa yang difikirkannya, selepas dapat tahu perkara tu...Ajmal jadi lain. Bila dapat tahu pula yang dia juga sekian lama cintakan Seri...lagi Pakcik Mus bimbang. Katanya dia tak mahu putih mata seperti Pakcik Mus...katanya biar apa cara sekali pun dia akan dapatkan Seri. Pakcik Mus takut sangat ia akan berlaku lagi! Pakcik Mus suruh dia balik, untuk berubat agar jiwanya tenteram...tapi sekejap saja, kemudian dia buat balik. Sampailah kejadian malam tadi...dia berjaya lepaskan dirinya selepas dia mengamuk pada petang tu bila dapat call dari Seri dan Fir. Katanya dia dah tak boleh sabar lagi...dia akan pasti dapatkan Seri, tak mahu keadaan yang sama pernah berlaku pada Pakcik Mus. Sebenarnya dia memang sayangkan Seri dan Fir sangat-sangat bila dia dalam keadaan sedar, tapi bila dia hilang kawalan...dia jadi lain! Dan itulah yang dah berlaku malam tadi Seri...Tak tahu Pakcik Mus nak cakap betapa kesalnya Pakcik Mus bila Ajmal tergamak melakukan tu pada Seri begitu." Panjang luahan Pakcik Mustapha membuatkan aku serta Firdaus bingung memikirkannya. Dan kesedihan yang kami tanggung lebih lagi terasa. Tidak terkata lagi kami berdua.
"Seri...Fir...tolonglah maafkanlah Ajmal. Semua yang dah berlaku ni bukan salah Ajmal tapi berpunca dari Pakcik Mus sendiri. Dia sebenarnya sedih dan tertekan...lagi pula dia terlalu cintakan Seri. Tapi jodoh Fir dan Seri lebih kuat...setidak-tidaknya Pakcik Mus bersyukur kehancuran lalu terubat sedikit bila melihat Fir dan Seri terikat dalam ikatan yang paling mengembirakan Pakcik Mus. Sekarang ni satu saja yang Pakcik Mus minta...tak tahu samada Seri dan Fir boleh berikannya. Boleh tak maafkan Pakcik Mus dan Ajmal?"
Aku terkedu lagi! Ya ALLAH...tidak kusangka sesungguhnya, ini sebenarnya yang berlaku...
Pada sesiapa yang tak nampak tu..huhuh..ni bkn ayat tanpa huruf yek! Ayatnya ada...tapi perlu di highlight kan. Hehe..tak pernah2 aku buat cam ni. Oklah, aku stop dulu kat sini. Pada adhan harap-harap ayat di atas dapat menjelaskan segala-galanya... :-)
Agak lama juga aku tak update blog ni. Sejujurnya aku memang agak sibuk kebelakang an ni. Tak tahulah mana datangnya sibuk tu, tapi yang pastinya meeting dan kerja-kerja dipejabat tak pernah habis rasanya. Lagipun aku bukan peminat tegar untuk mengupdate blog ini sentiasa.Tak tahulah kenapa aku tak rajin berblog.huhuh...
Oh..ok, kita lupakan pasal sibuk dan yang sewaktu dengannya. Sebenarnya ada beberapa permintaan dari kawan-kawan aku di forum KMC yang meng'sms' aku dan juga dari kawan-kawan aku yang lain minta aku letakkan versi asal ending novel Teluki ini. Fuhh...kalau nak publish di sini...mungkin aku agak keberatan. Sebab bagi aku apa yang ada dalam novel tulah endingnya. Walau apa pun ia tetap happy ending kan? :-)
Sebut pasal pengakhiran cerita..aku teringat kata kaksu. Sesuatu pengakhiran sebuah cerita..jangan di lepaskan semua. Tinggalkan sedikit untuk pembaca. Sebab itulah pengakhiran Teluki hanya setakat itu saja.Tapi itulah, untuk memenuhi permintaan kawan-kawan aku, aku tak mungkin letakkan pengakhiran versi asal Teluki di sini. Di email mungkin juga. Insya Allah, untuk korang yang minta versi original ending Teluki aku akan email jika ada kesempatan.
Tapi sekarang aku ada sedikit masa, bagi yang ingin mengetahui serba sedikit sedutan cerita Teluki Itu untuk Aku (untuk mereka yang belum membaca novel ini) untuk entri seterusnya aku akan letakkan beberapa sedutan cerita aku yang tak sepertinya ini. Harap-harap ia dapat membuka persepsi anda.
Sebenarnya aku rasa sangat-sangat terharu untuk sambutan Teluki Itu Untuk Aku di pesta buku. Pada anda semua yang telah membeli Teluki Itu Untu Aku, harapnya setiap patah perkataan dari novel itu dapat membayar kesudian anda membeli novel teluki. Baik atau sebaliknya...harap ia tetap menggalkan kesan. dan juga aku ingin katakan di sini..aku ingin hulurkan terima kasih tak terhingga pada Jemari Seni kerana JS lah lahirnya novel teluki. Tanpa JS, tiadalah Teluki Itu Untuk Aku. Buat kaksu, kakyah dan juga pada abang rosdi terima kasih kerana telah terbitkan novel yang tak sepertinya ini.
Untuk warga JS yang lain...buat hanis, nawwir, adhan dan juga pada korang-korang yang datang menolong di booth JS sepanjang pesta buku..seronok kenal korang. korang memang baik sangat. Entah bila dapat bersama dengan korang lagi kan. Buat teman-teman penulis JS yang lain, John Norafizan, Nazurah, Syud, Iman Xara, Pingu Toha...korang pun memang best! Mesra dan friendly sangat. Ingatan di pesta buku 2009 ni, aku akan ingat sampai bila-bila. Dan juga buat penyokong JS yang lain yang peramah dan mesra..buat geng kicap, kakwan ulat buku, kak noor dan korang-korang yang tak tersebut namanya di sini...aku ingin bagitahu di sini..seronok dapat kenal korang tau. Buat kawan-kawan di KMC dan juga di forum Cari, walaupun ada yang datang tak kenalkan diri dari forum Cari, terima kasih sangat korang dapatkan novel aku yang tak sepertinya itu.huhuh..
Juga untuk teman-teman aku yang sanggup datang dan bertemu aku memberi sokongan mengharungi lautan manusia di pwtc...untuk adik, along, zana, kak im, miza, eskrem, yazriena, zu kedatangan korang sesungguhnya memberi semangat. dan buat temanku linda..aku memang terharu sangat bila kau datang hari tu. aku tahu sangat kesibukan kau yang tak kira waktu tu..dengan bisnes kau yang memerlukan kau bekerja di setiap hujung minggu..tapi bila kau datang di booth JS hari tu dengan membeli senyap-senyap novel aku, dan dengan hadiah pemberi semangat 'Tesaurus Bahasa Melayu' dan juga cover teluki di mug itu..kau tahu...aku terharu sangat. Aku tak tahu macam mana kau boleh letakkan cover teluki di mug tu...tapi ia sangat mengesankan hati.
Dan buat seseorang, walaupun kau dah berjanji tak akan masuk ke blog aku ini..aku ingin tinggalkan di sini ingatan yang tak terhingga buat dirimu. Terima kasih untuk segalanya...
Minggu yang meletihkan! Betul aku tak sangka...punya la banyak masa yang aku tak perlu kerja lebih masa untuk kerja-kerja aku..masa nak pesta buku ni la, tiba-tiba datang bertimpa kerja yang perlu diselesaikan dalam masa dua minggu yang sama serentak dengan pesta buku! Uwaa..sepanjang masa tu, punylah aku tension..bos aku sure tak akan benarkan sesiapa bercuti! Bos ni betullah, masa ni lah ko dapat projek lain. Bagus tu memang la bagus, bolehlah ko bagi bonus lebih sikit seperti yang ko janjikan masa bulan 5 ni..tapi bos..masa kesibukan tu..tolonglah...aku perlu bercuti untuk duty! Dengan dada yang berdebar...aku tawakal aje hulur borang cuti kat bos. Tergagap-gagap aku mintak dan dengan dahi yang berkerut-kerut dia sign juga borang itu. Diluluskan! Uawaa...terharunya aku! Bos...moga-moga murah rezeki bos..harap-harap dapat projek lain lagi. Kali ini aku akan bagi seratus peratus komitmen aku pada kerja!huhuh...
:: perasaan ini bagaikan air di kali yang sentiasa mengalir tanpa henti... ::
perasaan yang tak pernah terhenti...
kata kita ia sentiasa mengalir...tanpa henti...
kerana perasaan bukan seperti air di pili...
yang bisa di buka dan di tutup sesuka hati
perasaan umpama sejernih air di kali...
sentiasa mengalir...melewati terus ke dasar hati...
jangan sesekali biar ia hilang...terpamit sendiri
bagiku...dalam lena perasaan itu tetap menghampiri...