'...aKU dAN seSUatu...daRI sUDuT iNI...iNILaH aKU...'





   

<< May 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02
03 04 05 06 07 08 09
10 11 12 13 14 15 16
17 18 19 20 21 22 23
24 25 26 27 28 29 30
31

perasaan ini bagaikan air di kali yang sentiasa mengalir tanpa henti.. Telah aku kuburkan dalam-dalam persahabatan bersama kau. Telah aku cuba simpan peristiwa aib itu dalam hati sampai mati. Bertahun aku menghilang, dan tidak pernah aku sangka waktu telah menemukan kita lagi. Malang apa yang menanti, pabila aku dan kau terperangkap dalam ikatan yang tidak pernah kita impikan? Benarkah hati perempuan itu, kerasnya bagaikan kerak nasi? Percik air lembutlah ia...! Benarkah hati perempuan itu dalamnya tak terduga? Sentuh dasarnya, lunaklah ia...! Benarkah begitu...? Ya, perempuan lain mungkin, tetapi tidak aku untuk lelaki seperti kau! Kau tidak pernah mengenali lagi aku Fir, kau tidak pernah lagi memahami aku Fir, kau tidak pernah sekalipun menyelami hati seorang aku! Bahtera ini, arah kita tak serupa padamu... aku dendam yang tak terungkai, padaku... kau sahabat yang melukakan Mengapa tidak kita akhiri sahaja tali ini, kalau kita tidak pernah endahkan ijab kabulnya, Fir?
***
Bacalah hati perempuan NAZAWATI dalam Teluki Itu untuk Aku. Bandingkan dia dengan hati anda sendiri!
Dalam juraian hujan...mengapa ucapan perpisahan yang kau lafazkan... Aku sesekali tidak pernah buang dirimu dari hatiku. Sesekali tidak. Dan tidak mungkin! Kerana masih ada janji-janji kita yang belum tertunai. Harapan dan impian indah di Sungai Thames... aku ingin ulanginya dalam bulan madu kita. Namun entah di mana silapnya... hujan panas menenggelamkan harapan dan impian yang hampir tertunai. Dan lumrah orang bercinta... kau dan aku tidak sunyi daripada sengketa dan salah sangka. Lalu perpisahan pun menjadi noktah kasih sayang. Namun tidak menoktahkan rasa rindu yang saban hari hadir memayungi hati, membasahkan ingatanku daripada terus melupakanmu, meletakkan aku dalam kancah resah yang tidak sudah. Amirul Taufiq... aku akur bila ada gadis lain jatuh cinta padamu. Dan salah seorang daripadanya bukanlah asing padaku. Insan yang aku sanjungi... yang menyebabkan aku mampu bernafas dan tersenyum sehingga ke hari ini. Pengorbanannya juga bukan sedikit untukku lukakan hatinya. Aku masih belum tergamak untuk memusnahkan impian indahnya... juga impian indah mereka... impian indah untuk hidup bersamamu. Nyatanya aku juga tidak mampu untuk lupakan dirimu dari hatiku. Namun apalah sangat dengan pengorbananku yang sekecil ini. Lalu aku izinkan hati ini dilukai. Kerana kebahagiaan yang sebenar ialah bila kita mampu berkorban untuk orang yang disayangi. Pedulikan hati sendiri... kerana orang lain tidak perlu tahu apa yang kita rasa. Dan kalau memang jodoh itu milik kita... aku tidak akan teragak-agak untuk menerimamu kembali. Menerima dan melupakan sengketa lama yang menyebabkan kau dan aku menderita...


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed

Tuesday, May 19, 2009
:: Sedutan Cerita - Teluki Itu untuk Aku ::

    

   Antara sedutan cerita di bab 6...

*****

"SUMPAH SERI... aku tak akan lupakan

semuanya ini! Sumpah Seri... aku tak akan maafkan

kau. Semuanya dah jadi titik hitam setelah kau

mensia-siakan persahabatan kita. Aku tak akan

maafkan kau. Sampai hati kau! Aku akan pastikan

yang kau tak akan mendapat kebahagiaan Seri. Kau

tak akan bahagia sampai bila-bila. Itu balasan yang

paling setimpal untuk kau!" Kalimat itu muncul lagi

dalam fikiranku. Lalu kala ini, bibirku menggeletar

sendiri melabuhkan seluruh rasa kecewa.

     Tuduhan yang amat pedih itu membuatkan aku

rasa terhina. Kesannya tidak pernah pudar.

Semuanya sentiasa mengejarku. Aku bagaikan

terperangkap dalam jurang yang amat dalam. Lalu

laratkah aku untuk terus membawa kesakitan yang

tidak pernah berkurangan ini?

     Aku berdiri kaku di rooftop terrace di

bangunan yang memberikan aku kegembiraan yang

hanya seketika ini. Aku berterusan melawan rasa

sedih dan benciku ini. Hanya iman yang setipis kulit

bawang ini yang menyebabkan aku masih mampu

berdiri. Kerana perasaanku sebenarnya sudah

terbang melayang saat aku bertentangan mata

dengannya semula.

     Ya Allah... sesungguhnya aku diduga lagi. Tidak

cukupkah sepuluh tahun aku membawa hati untuk

menawar luka yang lara? Kini aku dipertemukan lagi

dengannya. Hatiku merintih hiba. Pandangan mata

kubawa ke tempat yang paling jauh di hujung sana.

Kuala Lumpur... pilu hatiku kau tak akan mengerti!

Betapa aku sudah terlalu lelah berlari...!

     "Seri!" Ajmal menyeru dari belakang.

     Aku diam tidak berpaling.

     "Saat kau kembali, aku berjanji akan pastikan

kau tak akan menangis lagi. Aku akan pastikan kau

akan terus teguh berdiri untuk dapatkan kekuatan

hati kau semula. Aku tak bermaksud nak seret kau

kembali ke dalam dunia sedih kau, Seri," Ajmal diam

sekejap.

     "Aku sebenarnya cukup kesal dengan apa yang

dah berlaku, tapi yang lebih aku kesalkan aku

mungkin kehilangan persahabatan kita." Dia diam

lagi.

     "Kau dan Firdaus, dua-dua sahabat aku. Dan

aku tahu kau berdua sama-sama menanggung derita.

Aku rasa cukuplah kau berdua kehilangan segalagalanya...

aku tak larat lagi melihat kau berdua

berterusan begini. Aku juga tersepit antara kau

berdua... adilkah aku juga turut sama terhukum

dengan kisah lalu kau berdua, sedangkan aku dah

terlalu merindui persahabatan kita yang dahulu.

Terlalu rindukannya Seri.... Sepuluh tahun aku dah

kehilangan kau berdua. Tolonglah Seri, aku tak

mahu lagi berterusan tersepit antara kau dan

Firdaus. Tolonglah Seri... aku sayangkan kau berdua,

aku tak mahu lagi kehilangan kedua-duanya.

Tolonglah Seri...."

Air mataku tumpah lagi apabila mendengar

bicara Ajmal.

     "Seri, jangan biarkan aku kehilangan kau dan

Firdaus. Dalam persahabatan kita aku tak pernah

minta apa-apa daripada kau Seri. Sekurangkurangnya

sekali Seri... cukuplah sekali, kau berikan

apa yang aku minta. Tolonglah... biarkan aku terus

memiliki kau berdua sebagai sahabat aku, dan

tolonglah, janganlah kau lari lagi. Aku merayu

kepada kau Seri..."

     Aku teresak-esak mendengarkan permintaan

dan rayuan daripada Ajmal. Dia banyak

menolongku. Tapi kejamkah aku sekiranya tidak

mampu menunaikan permintaan dan harapan

sahabat baikku ini? Tajul Ajmal... aku tak berdaya.

Aku tak mampu, sahabatku. Hatiku merintih sendiri.

     "Ajmal, aku tak mampu tunaikan permintaan

kau. Aku tak berdaya hendak berdepan dengannya."

Kataku dalam sendu esak tangis.

     Ajmal menghampiriku. Aku nampak matanya

bergenang. Aku tidak bermaksud untuk mengheret

dia dalam senduku, tapi hati yang tenggelam dalam

kesedihan cukup melemaskan perasaan.

     "Seri... tolonglah jangan berhenti daripada Juta

Bumi ni Seri. Tunaikanlah permintaanku yang satu

ni." Rayu Ajmal lagi dalam nada suaranya yang

sedih.

     "Bagaimana Mal... di sini aku terpaksa

berdepan dengannya. Aku... "

      "Kau boleh! Jangan biarkan perasaan tu

menguasai kau. Kalau kau berundur daripada Juta

Bumi... aku yang paling hampa sekali. Macam mana

dengan harapan Tan Sri? Kau kena lawan perasaan

kau. Kau kena bertahan di sini. Sebab kalau mampu

berhadapan dengan Firdaus bermakna kau sudah

membebaskan hati kau."

     Ucapan Ajmal itu membuatkan aku bertambah

sedih. Besar harapannya sedangkan aku terus

dihimpit dengan kisah silam yang telah menjadikan

aku tersasar sendiri.

     "Sampai hatikah kau Seri hendak pergi dari

sini? Jangan pergi lagi Seri..." Terbata-bata suara

Ajmal merayu kepadaku.

     Ya Allah! Mampukah aku menunaikan

permintaannya?

 

 *****





Posted at Tuesday, May 19, 2009 by lobakbiru

 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry