perasaan ini bagaikan air di kali yang sentiasa mengalir tanpa henti..
Telah aku kuburkan dalam-dalam persahabatan bersama kau. Telah aku cuba simpan peristiwa aib itu dalam hati sampai mati. Bertahun aku menghilang, dan tidak pernah aku sangka waktu telah menemukan kita lagi. Malang apa yang menanti, pabila aku dan kau terperangkap dalam ikatan yang tidak pernah kita impikan?
Benarkah hati perempuan itu, kerasnya bagaikan kerak nasi?
Percik air lembutlah ia...!
Benarkah hati perempuan itu dalamnya tak terduga?
Sentuh dasarnya, lunaklah ia...!
Benarkah begitu...?
Ya, perempuan lain mungkin, tetapi tidak aku untuk lelaki seperti kau!
Kau tidak pernah mengenali lagi aku Fir, kau tidak pernah lagi memahami aku Fir,
kau tidak pernah sekalipun menyelami hati seorang aku!
Bahtera ini, arah kita tak serupa
padamu... aku dendam yang tak terungkai,
padaku... kau sahabat yang melukakan
Mengapa tidak kita akhiri sahaja tali ini,
kalau kita tidak pernah endahkan ijab kabulnya, Fir?
***
Bacalah hati perempuan NAZAWATI dalam Teluki Itu untuk Aku. Bandingkan dia dengan hati anda sendiri!
Dalam juraian hujan...mengapa ucapan perpisahan yang kau lafazkan...
Aku sesekali tidak pernah buang dirimu dari hatiku. Sesekali tidak. Dan tidak mungkin! Kerana masih ada janji-janji kita yang belum tertunai. Harapan dan impian indah di Sungai Thames... aku ingin ulanginya dalam bulan madu kita. Namun entah di mana silapnya... hujan panas menenggelamkan harapan dan impian yang hampir tertunai. Dan lumrah orang bercinta... kau dan aku tidak sunyi daripada sengketa dan salah sangka. Lalu perpisahan pun menjadi noktah kasih sayang. Namun tidak menoktahkan rasa rindu yang saban hari hadir memayungi hati, membasahkan ingatanku daripada terus melupakanmu, meletakkan aku dalam kancah resah yang tidak sudah. Amirul Taufiq... aku akur bila ada gadis lain jatuh cinta padamu. Dan salah seorang daripadanya bukanlah asing padaku. Insan yang aku sanjungi... yang menyebabkan aku mampu bernafas dan tersenyum sehingga ke hari ini. Pengorbanannya juga bukan sedikit untukku lukakan hatinya. Aku masih belum tergamak untuk memusnahkan impian indahnya... juga impian indah mereka... impian indah untuk hidup bersamamu. Nyatanya aku juga tidak mampu untuk lupakan dirimu dari hatiku. Namun apalah sangat dengan pengorbananku yang sekecil ini. Lalu aku izinkan hati ini dilukai. Kerana kebahagiaan yang sebenar ialah bila kita mampu berkorban untuk orang yang disayangi. Pedulikan hati sendiri... kerana orang lain tidak perlu tahu apa yang kita rasa. Dan kalau memang jodoh itu milik kita... aku tidak akan teragak-agak untuk menerimamu kembali. Menerima dan melupakan sengketa lama yang menyebabkan kau dan aku menderita...
Agak lama aku tidak menjengah di sini. Kekangan masa membuatkan aku kadang-kadang tidak sempat membuka blogku ini. Ahh...mulai hari ini aku berjanji akan cari masa-masa yang berharga untuk mencoret sesuatu di sini..
Dicelah-celah kesibukan, terasa debar juga dalam menanti kelahiran kedua aku yang akan keluar pada pesta buku pertengahan bulan ini. Oh...tak sedar masa makin berlalu, dalam tak sedar buah tangan keduaku akan lahir seketika nanti. Aku suka sekali nak bercerita tentang ini, tapi takpelah...nanti aku akan bercerita balik. Azan maghrib baru berkumandang. Aku berhenti dulu..seketika nanti aku akan becerita semula tentang Teluki Itu untuk Aku...
sekali lagi aku menjengah ke sini setelah beberapa ketika aku 'hilang' dalam 'kebizianku'.. baru balik out station dari terengganu.. oh..penatnya!hidup ini tidak henti-henti bekerjar kesana kemari... kekangan masa membuatkan aku hampir tak punya masa untuk berblog. tapi takpelah..ada masa singgang, aku tetap juga akan menjengah ke sini..
wahai blogku...nanti aku datang lagi ok...aku pamit dulu..ada perkara yang tiba-tiba perlukan perhatianku...
aduhai Gaza...aduhai Palestin...kalau hati begitu sebak melihat bumi palestin di bedil oleh israel laknatullah...lebih lagi tak terkawal rasa air mata yang berderai melihat kanak-kanak yang tak berdosa menjadi mangsa kekejaman israel.luruh segala rasa hati melihat setiap titisan darah yang terkorban.melihat wajah-wajah yang penuh kesengsaraan yang meminta..."selamatkan bumi kami!"
ya Allah...Kau lindungilah Al Aqsa.kau lindungilah rakyat palestin yang tertindas di atas bumi sendiri, di atas penjajahan rejim zionis.laknatilah bangsa yahudi dan sekutunya di atas kezaliman yang dilakukan!Kau berikanlah kekuatan dan kemenangan kepada rakyat palestin dan pejuang HAMAS yang mempertahankan tanah air mereka ya Allah...
untuk kita sendiri...rasailah setiap kesakitan dan kesengsaraan itu.kalau kiriman doa yang kita beri...seribu kali lebih bernilai dari segala-galanya.untuk itu juga...aku ingin menyeru...boikotlah produk US dan sekutu-sekutunya yang berkepentingan ke atas israel.dengan jalan itu...insya Allah...tak sebanyak, sedikit ia akan melumpuhkan kekejaman yang dirasai oleh rakyat palestin.
tolonglah...selamatkanlah Gaza.selamatkanlah bumi palestin...!
lately ni sakit betul kepala aku.tak tahu kenapa...byk tul keje aku skg ni.meeting sana sini.out station sana...kang berkejar ke majlis.balik aje dr semua tu...mesti aku termenung kejap...oh dok fikir mana satu keje aku nak semak dulu.dgn pelan yang berlambak tak bersemak.minit mesyuarat nak kena buat.out standing meeting nak kena tgk...mana nak kena amik tindakan.heh..apsal la semua projek ni dok byk construction skg ni...yg peningnya aku gak.kang bos tanya semua nak kena ready.
hoho..aku dok mengeluh tentang kerja. tak baik mengeluh... kata hati aku.tu kan tanggungjawab.kerja tu kan amanah.hmm...aku memujuk hati sendiri. wahai diri sendiri...terimalah segala beban dan tanggungjawab itu... hukhukhuk...adehhhh....
apalah slow bebenor blogdrive ni lately ni!eeeii...tgh aku rajin nak mengupdate...masa tu la byk tul problemnye.apa lembab bebenor!ni yg malas cam ni nak menjengah blog ni.arghhh....!!!
kalau ikutkan aku ni bukannya pengemar blog.tu la aku nak cerita...memang untuk berblog ni aku tak minat sangat.ntahlah kenapa.tapi aku suka berforum!hehe...dulu aku antu forum...jumpa kawan2 forum sana sini.siap berkelab-kelab lagi.suka aa dapat jumpa kawan-kawan kat internet.paling best jumpa kawan-kawan yang kaki novel...syok ooo.ingat kat eskrem (hehe...tu nick name dia kat forum melayu.com) dulu-dulu aku rajin pinjam novel kat dia.dia tu memang gila novel.pantang ada novel baru...abis disambarnya.tapi bacanya ntah bila.baiklah aku yang pinjam!huhuh... Kat sudut sastera kat forum melayu.com...ooohh...rasanya aku rindu dengan dorang semua.lately ni masing-masing sibuk agaknya.semua pun dah jarang menjengah.teringat kat ex8ly..tingat kat detektif indigo aka rowhoney...(ooo...rowhoney dah bersalin.dapat baby girl masa tahun baru ari tu.) sekarang ni semua dah sibuk.ada takde pun borak kat YM aje.sms sekali sekala.tu la...musim berlalu...tapi ingatan dulu tetap dalam ingatanku.huhuh... oooh...sambung balik psl aku yang tak suka berblog ni.sebenarnya bukannya tak suka...tapi takde masa nak mengupdate sebetulnya.yg selebihnya bkn pengemar blog..tu laa pasal blog aku ni memang jarang sekali aku update.hehe..tapi takpe..lepas ni aku nak rajin-rajinkan jari jemari aku ni nak mengupdate kat sini... oklah...ada masa aku singgah lagi...
oh sungguh...aku hampir terlupakan blogku ini! aku sendiri pun sedia maklum, kawan-kawan aku pun tahu...aku ni memang jenis yang tak rajin nak melayan blog-blog ni...apalagi frenster atau myspace,juga facebook sekali pun.tapi hari ni ntah kenapa hati aku tergerak semula menjengah blogku ini.ntah ada lagi ke tak...hehe...tapi mujur ada lagi.
penghujung tahun 2008 hampir menutup tirainya...
tunggulah...untuk blogku ini...mulai detik 2009 aku akan kembali melarikkan semula jari jemari ini untuk setiap luahan rasa di sini...
dalam juraian hujan, mengapa ucapan perpisahan yang kau lafazkan...
BAB 2
MALAM itu selepas menyelesaikan kertas kerjanya, Sharina turun ke bawah. Dia bercadang hendak menjenguk Hani Mastura di biliknya. Pintu bilik tetamu itu diketuk perlahan. Tiada jawapan. Dia sedikit cemas. Beberapa kali dia mengetuk lagi, pun tiada jawapan. Jatuh sakitkah lagi gadis itu ? Tombol pintu dipulas lalu kepalanya menjenguk ke dalam. Serta-merta dia diburu kelegaan. Dia menghela nafas panjang. Kelihatan Hani Mastura sedang menunaikan sembahyang. Dia melangkah masuk lalu duduk di kerusi empuk bersebelahan tepi tingkap dalam menantikan Hani Mastura usai solatnya. Seketika itu dari sudut tepi dia dapat melihat kejernihan wajah Hani Mastura yang lengkap bertelekung. Wajah putih bersih itu kelihatan lembut. Dia tersenyum sendiri. Pasti bertuah lelaki yang berjaya memiliki gadis ini. Hatinya berkata sendiri. Sepasang matanya yang bening cukup untuk mencairkan hati lelaki apatah lagi senyuman manis yang terukir pasti ada yang tidak lena tidur menatap senyuman itu. Kalaulah dia ada abang atau adik lelaki…pasti dia tidak akan ragu-ragu mengenalkan Hani Mastura untuk menjadi bakal iparnya. Dia tergelak kecil. Jauh angan-angannya. "Apa yang Kak Rina tergelak sorang-sorang tu, boleh share dengan Hani ?" Usik Hani Mastura seraya menanggalkan kain telekungnya setelah dia usai bersembahyang. "Tak ada apa yang lucu pun Hani, cuma tergelak sendiri. Kak Rina ni ada dua beradik perempuan aje..." Cerita itu sengaja tidak dihabiskan. "Jadi apa yang lucunya ada dua beradik perempuan aje ?" Pelik Kak Rina ni, ada dua beradik perempuan pun nak lucu. Aku anak tunggal tak lucu pun…malah boring lagi adalah. Hati Hani Mastura berkata sendiri. "Tak adalah…tadi Kak Rina perhatikan wajah Hani masa sembahyang tadi. Ikhlas Kak Rina cakap…Hani memang cantik, kan bagus kalau dapat jadi ipar Kak Rina. Tapi mana bisa dong…Kak Rina kan berdua aje dengan adik perempuan Kak Rina tu so, melepaslah Kak Rina nak beriparkan Hani." Ketawa Sharina memenuhi ruang bilik. Oh itu…Hati Hani Mastura berdetak sendiri. Kak Rina sekadar mengusik, tapi tahukah kakak itu hati ini terusik sendiri. Ahh Kak Rina…moga-moga kau tak akan bertanya soalan yang akan membuat hati ini bertambah luka Kak Rina. "Hani dah ada teman istimewa ? Takkan orang yang cantik macam Hani ini belum berpunya…" Itu dia…belum pun habis doanya pertanyaan seperti itu dilontarkan oleh Sharina. Mendengar pertanyaan itu wajahnya berubah serta-merta. Pandangannya dihalakan ke arah lain. Dia tidak mahu Sharina dapat mengesan perubahan yang melanda wajahnya bilamana mendengarkan pertanyaan seperti itu yang amat menghiris hati ! TUHAN…berilah aku kekuatanMU. "Hani…" Sharina memanggil lembut nama itu. Dia perasan keadaan itu. "Siapa nakkan orang yang macam Hani ni Kak Rina…Segala-galanya kurang. Kalau cakap pasal kecantikan, Hani rasa cantik lagi Kak Rina. Orangnya tinggi…lemah lembut, baik hati. Hani cakap betul, Kak Rina memang cantik. Hai…sekali Kak Rina petik jari, sepuluh yang datang tau." Sampai di situ Sharina membuahkan ketawanya sekali lagi. Agak lucu kata-kata tersebut. Bagi Hani Mastura pula pujian tadi memang ikhlas. Pada pandangan matanya Sharina memang cantik. Orangnya berkarisma. "Pada pandangan mata Kak Rina, cantik lagi Hani…jangan merendah diri adik, Hani memang cantik dan manis. Beruntung siapa yang dapat Hani. So, kita tutup pasal teman lelaki ini. Kak Rina cuma nak tanya, esok Kak Rina terpaksa balik KL…Hani macam mana ? Nak tinggal lagi di sini lagi pun boleh…nak ikut Kak Rina balik KL pun Kak Rina tak kisah. Tapi Hani dah sihat sepenuhnya ke ? Kalau tidak tinggal dua tiga hari lagi di sini, nanti Kak Rina datang balik jemput Hani." Sharina bercadangan begitu. "Ingat Hani terpaksa balik esok jugalah Kak Rina. Ada beberapa hal yang perlu Hani uruskan. Kak Rina tak kisahkan Hani tumpang Kak Rina ?" Pinta Hani Mastura. "Langsung tak kisah. Kak Rina lagi seronok…ada juga teman berbual dalam kereta nanti. Hmm…boleh kita bertolak dalam pukul 10 pagi ?" "Okay, you are the boss, I just follow your orders." Gelak Hani Mastura menuturkan nada suara seperti orang yang menerima arahan dari seorang ketua. Sharina turut tergelak. Dia bangun dari kerusi itu. "Okay sis…you must sleep now…mesti dapat tidur yang cukup. Esok kita nak turun bukit. Kak Rina takut Hani pening nanti bila kita pusing-pusing lereng bukit tu." Suara Sharina juga seperti memberi arahan. Dia sempat tersenyum nakal. "Kak Rina pun…tidur mesti cukup ya. Kalau tak cukup tidur nanti jatuh sakit." Biarpun nadanya kedengaran dalam gurauan, memang itu maksudnya supaya kakak itu memperolehi tidur yang cukup. Dia naik ke katil. "Harap-harap Hani mimpikan yang indah-indah malam ini. Jangan biarkan rasa luka menguasi kita Hani…" Sebelum berlalu ucapan itu kedengaran luhur dari ulas bibir Sharina. Kata-kata itu tenggelam di hati Hani Mastura. Entah kenapa bicara begitu cukup menyentuh hati. Tahukan engkau Kak Rina, apa yang berkocak di hati ini ? Kalaulah kau tahu kak, rasa luka yang ku tanggung sekarang…lebih parah rasanya bila kata-kata racun itu kembali bertamu diingatan ini. Sungguh ! Kata-kata itu umpama racun yang menyimbah luka hati yang sedia bernanah ini. Aku takkan melupakan kata-kata yang beracun itu setelah seluruh rasa kasih ini ku berikan padanya. Satu persatu kenangan pedih itu kembali bertamu… "Kenapa Fiq tuduh Mas yang bukan-bukan ni ? Sungguh Fiq…Mas tak tahu macam mana Fiq boleh dapat berita macam itu…takkan pasal berebutkan projek Cyber Bistari tu Fiq sanggup tuduh Mas macam ni…Fiq tak percayakan Mas ?" Sendunya mula kedengaran. "Memang ! Memang Fiq nak mempertikaikan kesetiaan Mas…rasanya kepercayaan tu dah tak lagi !" Meluap-luap perasaan marah Taufiq meletus di situ. "Fiq ! Apa yang Fiq cakap ni ? Fiq mempertikaikan kesetiaan Mas…apa maksud Fiq ? Sampai hati Fiq tak percayakan Mas…" Ada tangisannya yang akan gugur dalam kata-katanya yang berbaur kecewa itu. "Soalnya sekarang tuduhan Fiq berasas ! Apa yang Fiq dengar dan apa yang Fiq lihat ! Fiq…" "Apa yang Fiq dengar dan apa yang Fiq lihat ?" Pintas Hani Mastura cepat. Kenyataan yang kabur sebegitu amat menguris perasaannya. Dia perlu tahu segala-galanya. "Apa yang Fiq dengar ?" Soalnya lagi dalam menahan sendunya. Wajah lelaki yang ternyata menahan marah itu direnungnya dengan perasaan ingin tahu. "Mas tanya apa yang Fiq dengar ? Selama ni Fiq sabar berdepan dengan perangai lelaki bedebah tu. Bukan sekejap Fiq kenal Mas….enam tahun bukan waktu yang singkat Mas. Tapi tak sangka kerana lelaki bedebah tu…kerana projek tu sanggup Mas hancurkan hati Fiq. Fiq tak kisah mengaku kalah pada Mas kalau projek tu begitu penting pada Mas…Fiq tahu, selama ni Mas di pandang rendah oleh Datuk Bakri…tapi takkan berebutkan projek Cyber Bistari ni Mas sanggup buat Fiq begini !" Merah padam wajah lelaki itu. Marahnya benar-benar ditahap yang paling hujung sekali. Dia tidak pernah dicabar sehingga begitu sekali. Betapa sakit hatinya di kala ini. "Buat apa Fiq…apa yang dah Mas buat ? Selama ni Mas tak pernah membelakangkan Fiq." Air matanya mengalir sedih. "Tak payah nak berdalih, sebab ingin berebutkan projek tu Mas sanggup buat apa sajakan ? Fiq tak sangka, betul khabar angin yang Fiq dengar…Mas sanggup buat begitu sebab inginkan dapatkan projek Cyber Bistari tu, Fiq tak sangka…" Tertahan-tahan suara Taufiq meluahkan kekecewaannya. "Sampai hati Fiq percayakan khabar angin itu, Fiq tak percayakan Mas…" Betapa sedihnya hati mendengar tuduhan seperti itu. "Jadi, apa yang Fiq lihat tu tak betullah ya ?" Tengking Taufiq bengis. Hani Mastura tersentak mendengar jerkahan yang pertama kali diterimanya. Tajam pandangan matanya merenung Taufiq dalam dia sendiri keliru dengan kata-kata itu. Tubuhnya sudah seram sejuk. Berdetak juga perasaan cemas dalam hati mendengar kata-kata tersebut. "Apa yang dah Fiq lihat ?" Menggigil suaranya bertanya soalan itu. "Kau tanya apa yang dah aku lihat…" "Fiq !" Bagai ingin gugur jantungnya mendengar panggilan itu yang terluah dari bibir lelaki itu. Tidak pernah selama enam tahun ini ada panggilan lain menggantikan nama mereka. Ungkapan 'aku' dan 'kau' amat menghiris perasaannya. Air matanya kian mengalir laju. "Kalau boleh aku tak mahu percaya…masakan kau sanggup buat begitu, tapi ia tak silap…mata ni tak menipu, kau yang membiarkan tubuh kau dipeluk oleh lelaki bedebah itu…" "A...apa yang Fiq…Fiq cakap ni ? Apa mak…maksud Fiq ?" Bertindih dengan perasaan kelirunya begitu juga dia cuba lagi menahan perasaan hiba, ada rasa sakit di hati mendengar tuduhan yang seperti itu. Tubuhnya sudah semakin seram sejuk. Namun begitu dia sudah dapat menangkap satu perkara. "Kau tanya apa maksud aku…segalanya sudah terang, nyata…dan bersuluh ! Kau tangok gambar-gambar ni semua !" Dengan perasaan yang penuh marah beberapa keping gambar dikeluarkan dalam satu sampul surat lalu dihumban ke muka Hani Mastura. Semuanya berterebangan jatuh. Hani Mastura terkaku di situ. Dalam juraian air mata yang menitis tadi matanya dapat menangkap beberapa keping gambar yang terjatuh di hujung kaki. Sesungguhnya kali ini, nafasnya seakan-akan terhenti bilamana matanya menyambar gambar-gambar tersebut. Tersirap darahnya ! Dia terjelepuk jatuh. Dengan tangan yang sedikit menggigil dia mengambil beberapa keping gambar-gambar itu. Kerana gambar-gambar inikah Fiq, kita jadi begini ? Mana Fiq dapat gambar-gambar ni ? Hiba hatinya bertanya sendiri dalam merenung gambar-gambar tersebut. Ternyata hatinya terdera sendiri melihat gambar-gambar yang berada di dalam tangannya ini. Dengan sedikit kekuatan yang masih tinggal, dia cuba bangun kembali mengadap Taufiq yang sedikit pun tidak sudi memandangnya. Lelaki yang sedang menahan segunung perasaan marah direnung dengan pandangan memohon simpati. "Fiq…" Tangan Taufiq yang bercekak pinggang sebelah cuba diraihnya. Lelaki itu segera merentap kasar tangannya. "Fiq harus dulu mendengar penjelasan Mas…" "Tak perlu lagi penjelasan Mastura. Kenapa ? Terkejut tengok gambar-gambar itu ? Tak sangka kau terperangkap dalam permainan yang kau atur sendiri ? Sudah Mastura…cukuplah, aku dah tak mahu mendengar penjelasan kau. Semuanya dah cukup jelaskan ? Gambar tu semua jelas terbukti. Cukup menjelikkan !" "Taufiq !" Bertimpa rasa sakit hati bertindih dengan perasaan sedihnya. Sampai hati kau Fiq…kau lebih percayakan gambar-gambar ini, jadi apa guna aku setia kepadamu enam tahun lamanya. Enam tahun Fiq… "Fiq percayakan gambar-gambar ni…tapi tak percayakan Mas ! Dengar dulu penjelasan Mas…" "Jadi gambar tu berbohong ? Perempuan dalam gambar tu bukan kau ? Jangan nak bergurau Hani Mastura ! Mustahil aku tak kenal dengan perempuan yang telah membuang masa aku lebih enam tahun, perempuan yang enam tahun telah mengukir janji-janji palsu. Yang menghancurkan seluruh perasaan aku…" Taufiq merintih sedih. "Mas tak pernah nak menghancurkan perasaan Fiq, Mas masih setia pada janji-janji yang kita ukir bersama bersaksikan Sungai Thames. Fiq dah lupa semua tu…" "Fiq tak pernah lupa ! Mas yang tipu Fiq…Sungai Thames juga jadi saksi yang Mas takkan sesekali akan lukakan hati Fiq. Fiq benci Mas…Fiq benci pada kenang-kenangan di Sungai Thames. Kalau masa itu boleh berundur kembali…Fiq minta janganlah kita dipertemukan Mastura. Fiq benci dengan semua itu !" Meluap-luap kemarahan diluahkan oleh Taufiq dengan cukup kecewa. "Sampai hati Fiq…" Mendayu-dayu suara Hani Mastura meluahkah kekecewaannya. "Pergi Hani Mastura…anggaplah kau tak pernah mengenali aku. Pergilah kepada sesiapa saja yang kau rasa boleh memberikan kau kemewahan…pangkat, kedudukan…atau apa saja ! Mulai hari ini aku anggap kisah kita sudah berakhir…akan ku buang kau jauh-jauh dari ingatan…seperti aku tak pernah kenal perempuan murahan dan tiada harga diri seperti kau !" Tertahan-tahan suara Taufiq meluahkan ucapan yang amat pedih itu. Satu ungkapan yang cukup beracun ! Tersentap hati Hani Mastura mendengarnya. "Taufiq !" Tanpa sedar melayang tangan kanannya menampar pipi lelaki itu. Meluap-luap kemarahannya di situ. Ternyata Taufiq terkejut. Pandangan mereka bersambung. Dulu setiap renungan mengalir rasa cinta yang bukan sedikit, kini perasaan itu menjadi sepanas api. Pandangan amarah Hani Mastura dibalas renungan tajam Taufiq. Menggigil-gigil tubuh Hani Mastura untuk menampung segala tekanan ini. Seakan pecah dadanya mendengar kata-kata racun yang amat berbisa dari lelaki itu. Kata-kata terakhir yang sampai mati akan meninggalkan kesan yang amat mendalam. "Sampai mati aku tak akan lupakan kata-kata itu Taufiq…sampai mati aku tak akan lupakan kata-kata kau itu…Sampai mati aku tak akan maafkan kau Amirul Taufiq!" Air mata yang mengalir dikesatnya. Cukup…aku dihina oleh dia ! Dengan tangan yang menggigil-gigil, sebentuk cincin platinum bermata satu ditarik keluar dari jari manisnya lalu dihumban ke muka Taufiq dengan segunung perasaan marahnya tertumpah di saat ini. Serentak dengan itu dia meluru keluar dari bilik lelaki itu lalu menghempaskan sekuat hati pintu bilik suite mewah itu. Ke mana dia dia harus pergi ? Yang pastinya bukan ke arah biliknya. Air mata berterusan mengalir menyambung kembali tangisan yang terhenti tadi. Segusus rasa luka miliknya. Kakinya berlari menuju ke pintu tangga. Tangisannya kian kuat. Di tingkat satu tiba-tiba dia terjelepuk lemah. Tangisannya bertambah hiba. Aku tak akan maafkan kau ! Hatinya merintih sendiri. Dia gagahi bangun kembali. Tanpa mempedulikan orang yang keluar masuk di lobi utama Rosa Passadena Hotel itu dia terus menuju keluar. Persetankan orang-orang yang pelik memandangnya. Setibanya dia di luar, hujan lebat membasahi bumi Cameron Highlands. Dia tidak peduli itu semua. Tanpa memakai baju sejuk sedikit pun dia tidak dihiraukan seluruh tubuhnya telah dibasahi oleh hujan lebat yang turun mencurah. Dia terus membawa kakinya kemana saja. Tanpa sedar ada 30 minit dia membawa diri menyusuri turun puncak bukit itu membawa haluan entah ke mana. Dalam kedinginan hujan yang turun mencurah-curah, remang senja menghiasi Tanah Tinggi ini. Rasa sejuk yang amat sangat tiba-tiba menyelimuti seluruh tubuhnya. Kepalanya juga sudah terasa berpinar, selebihnya badannya cuba melawan rasa dingin di dalam hujan begini. Dia cukup kesejukan sehingga menangkap ke tulang hitamnya. Di manakah dia sekarang ? Tanpa mempedulikan keadaan sekelilingnya dia cuba melintasi jalan untuk keseberang sana untuk mencari tempat berlindung. Tiba-tiba berhenti mengejut sebuah kereta dari dari depan sana. Dia terkejut ! Tiba-tiba kepalanya terasa berpusing. Semuanya nampak kelam. Dan dia rebah di situ.