Entry: :: Sedutan Cerita 2 - Teluki Itu untuk Aku :: Tuesday, May 19, 2009



Antara sedutan cerita di bab 7...

*****


SETELAH SEMINGGU Firdaus membawa diri,

atau yang lebih tepat cuba untuk mengelak diri

daripadaku, akhirnya aku bertemu dengannya di lobi

utama Juta Bumi Holdings pagi tadi. Pertemuan

secara tidak sengaja itu sedikit sebanyak

membuatkan aku tergamam. Pedih melanda lagi

jiwaku. Dadaku terasa amat berdebar sekali. Aku

tidak pasti apa harus aku lakukan sekarang.

Renungan matanya yang jelik mencalarkan seluruh

perasaanku. Rasa benciku kepadanya menyelinap

lagi dalam hati ini. Aku tidak boleh singkirkan

perasaan itu. Segugus rasa benci yang tidak pernah

hilang ini.

     “Kak Seri....” Interkom di depan mata berbunyi,

membuat aku tersedar kembali.

     “Ya Hanis.” Jawabku.

     “Encik Firdaus minta Hanis beritahu pada Kak

Seri supaya datang ke discussion room sekarang. Dia

nak bincang dengan Kak Seri pasal projek Taman

Budaya tu.” Sejurus Hanis yang bersuara lembut itu

memberitahuku, terus hatiku terdera lagi.

Jantungku berdegup kencang sekali. Aduhai...

bolehkah aku berhadapan dengannya?

     “Kak Seri...” panggil Hanis apabila tiada

jawapan daripadaku.

     “Ya Hanis, Kak Seri dengar. Er... beritahu Encik

Firdaus Kak Seri akan datang.” Aku cuba kuatkan

hatiku. Aku tidak boleh mengelak lagi. Sampai satu

masa aku harus berdepan juga dengannya, dan kini

ialah masanya. Persetankan, aku tak akan mengalah

dengan Firdaus! Aku tak akan membiarkan dia

mengganggu emosiku lagi. Kalau dia bertujuan

membuatkan aku berputus asa, dia tidak akan

berjaya. Biar kebencian antara aku dan dia

berterusan, tapi untuk mengalah dalam kerjaya ini,

aku tidak sesekali akan membenarkannya. Begitu

nekad hatiku berkata.

     Bersama dengan seribu kekuatan, aku

melangkah ke bilik perbincangan yang telah diatur

oleh Hanis. Aku harap semangat tersebut tidak akan

goyah setelah berhadapan dengannya. Itu janjiku

pada diri sendiri. Aku tidak mahu bergaduh

dengannya dalam urusan kerja, dan aku harap dia

juga begitu. Kalau dia tidak mengungkit akan kisah

lalu, aku akan pastikan urusan aku dan dia akan

berlaku dalam keadaan profesional. Aku tidak mahu

rasa kebencian ini mengganggu komitmenku

terhadap harapan Tan Sri Kamarul.

     Setiba aku di hadapan bilik tersebut, sebelum

melangkah masuk aku menghela nafas panjang.

Dalam hati aku berdoa lagi semoga emosiku dapat

dikawal dengan baik. Aku harus tenang berhadapan

dengannya; dan tombol pintu tetap kupulas dengan

perasaan berdebar. Apabila pintu tersebut terkuak,

aku belum berani mengangkat muka untuk

memandang ke depan.

     Beberapa saat aku terus berdiri di muka pintu

sehinggalah akhirnya aku mengalah. Aku

memberanikan diri untuk mengangkat wajah.

Mataku terus terikat kepada sesusuk tubuh yang

tidak memandang kepadaku. Jelas di mataku

Firdaus sekadar berpeluk tubuh. Matanya

memandang ke satu sudut tanpa sedikit pun

memberi perhatian kepadaku yang terpacak di muka

pintu ini. Aku akur dengan keadaan ini, rasa benci

itu tidak mungkin hilang.

     Tanpa mempedulikan dia yang berpeluk tubuh

di situ, aku mengatur langkah menempatkan diri di

salah sebuah kerusi. Jauhnya jarak antara kami,

memang memustahilkan aku dan dia dapat

berbincang. Tapi itulah yang berlaku. Aku juga tidak

sudi untuk bertemu dengannya dalam keadaan

begini.

     Beberapa detik kami masih lagi dingin dan

kaku. Sepi. Aku dan dia terus diam membisu. Aku

cuba mengawal diri agar dapat bertenang.

     Pandanganku menekur ke bawah sedari tadi,

seboleh-bolehnya tidak mahu mata kami berlaga

dalam keadaan sekarang. Tapi sampai bila? Aku

rimas dengan keadaan ini, tapi aku benci untuk

memandang wajahnya. Betapa bezanya dengan

keadaan dulu, sebelum kejadian tersebut aku dan

dia bukan begini....

     “Kalau kita sekadar duduk begini dengan

memendam perasaan, aku kira kita tak perlu di sini.”

Akhirnya aku bersuara. Ada getar di situ. Sekilas aku

membawa pandang kepadanya. Secara kebetulan

juga pandangan kami berlaga. Serta-merta aku

segera melarikan mataku. Kemudian daripada ekor

mata aku dapat merasakan Firdaus bangun dari

tempatnya lalu menuju ke fibre glass di belakangku.

     “Sepuluh tahun dah berlalu, tak pernah aku

lupakan apa yang kau dan keluarga kau buat,

menghancurkan semuanya. Aku tak pernah lupakan!

Kalau...”

     “Firdaus!” Aku segera memotong kata-katanya

dalam pada darahku tersirap apabila dia mengungkit

kembali peristiwa tersebut.

     “Aku tak mahu kau sebut lagi perihal peristiwa

itu!”

     “Kau ingat begitu mudahkah Seri?” Tiba-tiba

dia datang kepadaku lalu berbisik di telingaku

dengan kata-kata yang begitu sinis sekali. Darahku

tersirap lagi! Segera aku berpaling memandang

wajahnya lalu pandangan aku dan dia bertemu.

Lama mata kami berlaga dengan sinar dendam

kembali bersemarak.

     “Sekali kau mendendami aku Firdaus, seribu

kali lagi aku benci pada kau! Aku tak akan lupakan

peristiwa itu... !” Ada dendam kesumat pada luahan

kata-kataku.

     “Peristiwa yang tak akan kau lupakan... dah

sepuluh tahun berlalu, kan?” Dia tersenyum sinis.

     Aku diam membisu, tidak mahu mengulas

kalimat pedihnya itu.

     “Sepuluh tahun dah berlalu Seri Kurnia. Kini

kau balik semula ke sini, kau kembali ke Malaysia...

dan sudahnya kita bertemu di sini! Ha... ha... yang

paling mengharukan kita telah diarahkan untuk

uruskan projek yang sama. Boleh kau tunaikan

permintaan Tan Sri Kamarul bekerjasama dengan

aku untuk projek tu? Aku kira kau tak berdaya,

apalagi kau nak bersaing denganku...”

     Stop it Firdaus! Aku tak pernah terfikir nak

bersaing dengan kau. Aku kira tu cuma satu amanah

daripada Tan Sri... untuk bekerjasama dengan kau.

Walaupun aku benci untuk menghadap muka kau,

aku harap profesionalisme kita tidak akan

mencampuradukkan masalah peribadi kita dengan

urusan kerja. Aku harap kau faham itu!” ujarku

dengan nada tegas.

     “Oh begitu... aku cuba berfikir waras sekarang.

Seri Kurnia Iskandar... yang telah menempatkan diri

sebagai salah seorang arkitek hebat di UK sudi

bekerjasama denganku. Tapi boleh kita berikan hasil

seratus peratus seperti yang diharapkan oleh Tan Sri

Kamarul? Seri Kurnia... kalau bukan kerana Ajmal

dan kalau tidak mengenangkan harapan Tan Sri, tak

sudi aku hendak bekerjasama dengan kau! Kalau tak

fikir kerana Tan Sri Kamarul banyak menolong

aku....” Firdaus diam sekejap. “Jadi baguslah kalau

kau faham maksud ‘profesionalisme’ tu. Tapi untuk

pengetahuan kau, aku tak akan mengalah dengan

kau... dan untuk masalah peribadi kita, aku nak kau

tahu aku tak akan lupakan dendam aku itu. Jaga

kau!”

 

*****

Nota Kaki : Sedutan-sedutan cerita ini adalah

Hak Cipta Terpelihara Jemari Seni.




   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments